PERSATUAN

Logo Persatuan

Sijil Pendaftaran

Ahli Jawatankuasa Pusat

ajk-psutsm_-2016_2017

Undang-undang

UNDANG-UNDANG BAGI PERTUBUHAN

PERSATUAN SENI URUT TERAPI SIFULI MALAYSIA

KANDUNGAN

FASAL 1 . . NAMA

FASAL 2 . . TEMPAT URUSAN

FASAL 3 . . TUJUAN/MATLAMAT

FASAL 4 . . KEAHLIAN

FASAL 5 . . BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN

FASAL 6 . . PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

FASAL 7 . . MESYUARAT PERWAKILAN

FASAL 8 . . JAWATANKUASA PUSAT

FASAL 9 . . KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

FASAL 10 . . KEWANGAN

FASAL 11 . . JURUAUDIT

FASAL 12 . . PENGAMANAH

FASAL 13 . . PEMBUBARAN

FASAL 14 . . PENUBUHAN DAN PEMBUBARAN CAWANGAN-CAWANGAN

FASAL 15 . . MESYUARAT AGUNG CAWANGAN

FASAL 16 . . JAWATANKUASA CAWANGAN

FASAL 17 . . TUGAS-TUGAS PEGAWAI-PEGAWAI CAWANGAN

FASAL 18 . . KEWANGAN CAWANGAN

FASAL 19 . . PERUNTUKAN-PERUNTUKAN UMUM MENGENAI CAWANGAN

FASAL 20 . . PINDAAN UNDANG-UNDANG

FASAL 21 . . TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

FASAL 22 . . LARANGAN

FASAL 23 . . LAMBANG


UNDANG-UNDANG BAGI

PERSATUAN SENI URUT TERAPI SIFULI MALAYSIA

 

FASAL 1 NAMA

(1) Pertubuhan ini dikenali dengan nama

PERSATUAN SENI URUT TERAPI SIFULI MALAYSIA

selepas ini disebut Persatuan.

(2) Bertaraf : Kebangsaan

 

FASAL 2 TEMPAT URUSAN

(1) Alamat tempat urusan dan surat menyurat Persatuan ialah

Lot 4440 Jalan Besar Tambun

31400 Ipoh Perak

Malaysia

atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa Pusat. Alamat tempat urusan dan surat menyurat Persatuan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

FASAL 3 TUJUAN/MATLAMAT

  1. Menyatupadukan pengamal seni urut terapi Sifuli di seluruh Malaysia.
  2. Membina aspek kesihatan kehidupan rohani, jasmani, jiwa dan raga di kalangan ahli Persatuan untuk menjadi pengamal seni urut terapi yang berjaya membina kesihatan mencegah dan menyembuhkan segala penyakit.
  3. Berkerjasama di antara ahli Persatuan membina cita cita kejayaan kerjaya di bidang seni urut terapi Sifuli untuk kesihatan jiwa raga dan kesejahteraan kehidupan rohani dan jasmani.
  4. Membina kefahaman dan kepercayaan kepada tuhan, taat setia kepada Raja dan negara serta berguna kepada masyarakat.
  5. Berkerjasama dengan pertubuhan lain yang mempunyai tujuan dan cita cita yang sama.

FASAL 4 KEAHLIAN

(1) Keahlian Persatuan adalah seperti berikut :

A. AHLI BIASA

i. Warganegara Malaysia

ii. Berumur 18 tahun ke atas

iii. Terlibat atau berminat dengan Seni Urut Terapi Sifuli

B. AHLI BERSEKUTU – Tiada

C. AHLI KEHORMAT

Terdiri daripada mereka yang berjasa kepada masyarakat dan boleh memberi

sumbangan kepada persatuan. Mereka ditentukan oleh jawatankuasa dan

terkecuali dari pembayaran yuran.

D. AHLI REMAJA

- Warganegara Malaysia

- Berumur 18 tahun ke bawah

- Mendapat kebenaran bertulis daripada keluarga/ penjaga.

- Ahli Remaja tidak boleh mengundi dan memegang jawatan dalam Persatuan.

(2) Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dicadang dan disokong oleh 2 orang ahli dan dihantar kepada Setiausaha Cawangan tempatan yang hendaklah mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa Cawangan untuk diluluskan. Jawatankuasa Cawangan boleh, mengikut budibicaranya, menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya. Permohonan menjadi ahli bagi tempat di mana cawangan belum ditubuhkan, hendaklah diuruskan mengikut kaedah itu juga oleh Setiausaha Agung dan Jawatankuasa Pusat.

(3) Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti tersebut di atas hendaklah, setelah membayar bayaran masuk dan yuran tahunan pertama yang ditetapkan diterima menjadi ahli Persatuan dan berhaklah ia menjadi ahli.

(4) Seseorang pelajar universiti atau kolej universiti tidak boleh diterima menjadi ahli persatuan ini kecuali ia telah dibenarkan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor Universiti yang berkenaan.

 

FASAL 5 BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN

(1) Bayaran masuk/ yuran ahli tahunan RM1.00 (Ringgit Malaysia: Satu Ringgit)

(2) Yuran tahunan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari Cawangan terlebih dahulu di dalam tempoh 30 hari di awal tahunan. Jika cawangan belum ditubuhkan, pembayaran hendaklah disampaikan kepada Bendahari Agung atau kepada Setiausaha Agung.

(3) Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada 2 tahun akan menerima surat peringatan yang ditandatangani oleh atau wakil Setiausaha Agung atau Setiausaha Cawangan, dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya dijelaskan.

(4) Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih daripada jumlah yuran bagi tiga tahun dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Persatuan dan Jawatankuasa Pusat boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya, dengan syarat mereka berpuashati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.

(5) Jawatankuasa Pusat mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi mereka yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.

(6) Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat perwakilan Persatuan. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran tahunan.

 

FASAL 6 PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

(1) Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Persatuan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha cawangan dan menjelaskan segala hutangnya.

(2) Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Persatuan atau bertindak dengan cara yang akan mencemar nama baik Persatuan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagai mana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa Cawangan. Sebelum Jawatankuasa Cawangan memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan mesyuarat agung cawangan menunda atau membatal keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.

 

FASAL 7 MESYUARAT PERWAKILAN

(1) Bagi undang-undang ini, seorang “ahli-terus” maknanya ialah seorang ahli persatuan yang tidak menjadi ahli cawangan dan seorang “wakil ahli” maknanya ialah seorang wakil yang dilantik oleh ahli-ahli terus.

(2) Pentadbiran Persatuan ini terserah kepada mesyuarat perwakilan yang mengandungi wakil-wakil cawangan dan wakil-wakil ahli dan ahli-ahli Jawatankuasa Pusat. Sebarang ahli persatuan, dengan persetujuan Yang Di Pertua boleh hadir di dalam mesyuarat perwakilan tetapi ia tidak boleh bercakap atau mengundi.

(3) Wakil-wakil cawangan hendaklah dipilih tiap-tiap dua tahun oleh cawangan masing-masing dan mereka boleh dipilih semula. Sesuatu cawangan berhak memilih seorang wakil bagi 20 orang ahli yang pertama atau sebahagian daripada jumlah itu dan seorang wakil lagi bagi tiap-tiap 20 orang ahli lebih daripada 20 orang ahli yang pertama, dengan syarat jumlah wakil bagi sesuatu cawangan tidak lebih daripada 5 orang.

(4) Wakil-wakil ahli hendaklah dipilih tiap-tiap dua tahun oleh ahli-ahli terus dan mereka boleh dipilih semula. Seorang wakil boleh dipilih bagi 20 orang ahli yang pertama atau sebahagiannya dan tambahan seorang wakil bagi 20 orang ahli lebih daripada 20 orang ahli yang pertama, dengan syarat jumlah wakil ahli tidak lebih daripada 5 orang.

(5) Ahli Jawatankuasa Pusat tidak boleh dipilih menjadi wakil cawangan atau wakil ahli-ahli. Ahli Jawatankuasa Pusat dan wakil-wakil yang hadir berkuasa mengundi di dalam mesyuarat perwakilan.

(6) Kuorum untuk mesyuarat perwakilan dianggap cukup jika wakil-wakil yang hadir, tidak kira jumlahnya berjumlah lebih daripada jumlah wakil bagi setengah (1/2) bilangan cawangan-cawangan dan lebih daripada setengah (1/2) jumlah wakil ahli-ahli terus persatuan.

(7) Jika kuorum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 14 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pusat; dan jika kourum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu, maka berkuasalah wakil-wakil yang hadir menjalankan mesyuarat pada hari itu tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Persatuan dan membuat keputusan-keputusan mengenai semua ahli.

(8) Mesyuarat Tahunan Perwakilan bagi Persatuan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada bulan April pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pusat. Kerja-kerja Mesyuarat Tahunan Perwakilan ialah:

(a) Menerima laporan Jawatankuasa Pusat berkenaan perjalanan Persatuan di dalam tahun yang lalu;

(b) Menerima laporan Bendahari Agung dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun yang lalu;

(c) Memilih ahli-ahli Jawatankuasa Pusat dan dua orang Juruaudit untuk dua tahun akan datang; dan

(d) Menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

(9) Pengumuman awal mengenai Mesyuarat Tahunan Perwakilan yang menyatakan tarikh, waktu dan tempat, dan panggilan mengemukakan cadangan untuk perbincangan, cadangan untuk meminda undang-undang dan pencalonan untuk pemilihan ahli-ahli Jawatankuasa Pusat, hendaklah dikirimkan oleh Setiausaha Agung kepada tiap-tiap Setiausaha Cawangan tidak lewat daripada 60 hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat, dan pengumuman ini hendaklah ditunjukkan supaya jelas kelihatan di tempat urusan persatuan yang telah didaftarkan. Tiap-tiap Setiausaha Cawangan hendaklah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan tidak lewat daripada 30 hari setelah menerima pengumuman awal itu.

(10) Nama-nama wakil, pencalonan untuk pemilihan pegawai-pegawai dan cadangan untuk dibincangkan di dalam mesyuarat hendaklah dihantar oleh Setiausaha Cawangan atau ahli-ahli secara individu supaya sampai kepada Setiausaha Agung tidak lewat daripada 40 hari selepas penerimaan pengumuman awal mesyuarat.

(11) Setiausaha Agung, jika boleh hendaklah mengadakan mesyuarat ahli-ahli terus tidak kurang daripada 30 hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk Mesyuarat Perwakilan, untuk melantik wakil-wakil ahli dengan syarat jika keadaan tempat yang berjauhan tidak sesuai bagi mengadakan mesyuarat, maka dengan cara melantik wakil-wakil ahli hendaklah diputuskan oleh Jawatankuasa Pusat.

(12) Setiausaha Agung hendaklah menghantar kepada Setiausaha Cawangan sekurang-kurangnya 7 hari sebelum diadakan mesyuarat satu agenda termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan, cadangan dan pencalonan untuk pemilihan pegawai-pegawai berserta dengan penyata kira-kira Persatuan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini hendaklah diberikan kepada tiap-tiap wakil cawangan dan wakil ahli dan salinan surat itu boleh diperolehi untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan persatuan atau di pejabat-pejabat cawangan.

(13) Mesyuarat Khas Perwakilan bagi Persatuan ini boleh diadakan:

(a) Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa Pusat; atau

(b) Atas permintaan dengan bertulis oleh ahli-ahli jawatankuasa bagi dua cawangan atau lebih atau oleh tidak kurang daripada 20 orang ahli-ahli terus dengan menerangkan tujuan-tujuan dan sebab-sebab mengadakannya.

(14) Mesyuarat Khas Perwakilan yang diminta oleh Cawangan-cawangan atau ahli-ahli terus hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

(15) Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Khas Perwakilan itu hendaklah diedarkan kepada semua Setiausaha Cawangan oleh Setiausaha Agung sekurang-kurangnya 15 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk mesyuarat.

(16) Fasal 7 (6) dan 7 (7) di dalam undang-undang ini berkenaan kourum dan penangguhan Mesyuarat Tahunan Perwakilan boleh digunakan untuk Mesyuarat Khas perwakilan, tetapi dengan syarat jika kourum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Khas Perwakilan itu atas permintaan Cawangan-cawangan, maka mesyuarat itu hendaklah dibatalkan, dan sekurang-kurangnya 6 bulan daripada tarikh ini Mesyuarat Khas perwakilan yang dipohon dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

(17) Setiausaha Agung hendaklah menghantar kepada semua Setiausaha Cawangan salinan rangka peringatan tiap-tiap Mesyuarat Tahunan Perwakilan atau Mesyuarat Khas Perwakilan dengan seberapa segera setelah selesainya mesyuarat itu.

 

FASAL 8 JAWATANKUASA PUSAT

(1) (a) Satu Jawatankuasa Pusat seperti berikut yang dinamakan pegawai-pegawai Persatuan hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Tahunan Perwakilan:

 

Seorang Presiden

Seorang Naib Presiden

Seorang Setiausaha Agung

Seorang Penolong Setiausaha Agung

Seorang Bendahari Agung

10 Ahli Jawatankuasa Biasa

(b) Semua ahli yang berkhidmat di dalam Jawatankuasa Pusat dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif di dalam Persatuan ini hendaklah warganegara Malaysia

(2) Nama-nama untuk jawatan-jawatan yang di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh wakil-wakil cawangan/ahli di dalam Mesyuarat Dwi Tahunan Perwakilan. Semua pegawai boleh dilantik semula tiap-tiap tahun.

(3) Fungsi Jawatankuasa Pusat ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Persatuan mengikut dasar Am yang telah ditetapkan oleh Mesyuarat Perwakilan. Jawatankuasa Pusat seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Perwakilan dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa Pusat mestilah sentiasa mematuhi keputusan laporannya berkenaan kegiatan-kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Tahunan Perwakilan.

(4) Jawatankuasa Pusat hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali di dalam 3 bulan dan 14 hari pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada kepada ahli-ahli. Yang Di Pertua dengan bersendirian, atau tidak kurang daripada 3 orang ahli Jawatankuasa Pusat bersama-sama, boleh memanggil supaya diadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli-ahli Jawatankuasa Pusat hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan kourum mesyuarat.

(5) Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa Pusat dan mesyuarat tidak dapat diadakan, maka bolehlah Setiausaha Agung mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Pusat secara pengedaran surat sekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut hendaklah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa Pusat boleh dianggap sebagai telah diterima:

(a) Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa Pusat;

(b) Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli-ahli Jawatankuasa Pusat mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan

(c) Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak. Sebarang keputusan yang diperolehi melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha Agung kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pusat berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat.

(6) Ahli Jawatankuasa Pusat yang mungkir menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pusat tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa Pusat.

(7) Jika seorang ahli Jawatankuasa Pusat meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa Pusat melantik ahli Persatuan yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Tahunan Perwakilan diadakan.

(8) Jawatankuasa Pusat boleh memberi perintah kepada Setiausaha Agung dan pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan-urusan Persatuan. Ia boleh menggantung atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa Pusat atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Persatuan.

 

FASAL 9 KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

(1) Presiden, dalam tempoh memegang jawatannya hendaklah menjadi Pengerusi semua Mesyuarat Perwakilan dan semua Mesyuarat Jawatankuasa Pusat dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Setiausaha Agung dan Bendahari Agung.

(2) Naib Presiden hendaklah memangku jawatan Yang Di Pertua semasa ketiadaannya.

(3) Setiausaha Agung hendaklah menjalankan kerja Persatuan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah Mesyuarat Perwakilan dan Jawatankuasa Pusat. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku kewangan. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Yang Di Pertua dan Bendahari Agung.

(4) Penolong Setiausaha Agung hendaklah menolong Setiausaha Agung menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha Agung.

(5) Bendahari Agung adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Persatuan. Ia hendaklah menyimpan akaun bagi semua urusan kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Presiden dan Setiausaha Agung.

(6) Ahli-ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa Pusat menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.

 

FASAL 10 KEWANGAN

(1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan dalam undang-undang ini, wang Persatuan boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Persatuan termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji dan upah memeriksa kira-kira. Walau bagaimanapun, wang itu tidak boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.

(2) Bendahari Agung dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM 1,000.00 (Ringgit Malaysia : Satu ribu sahaja) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan di dalam tempoh tujuh hari ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa Pusat. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama Persatuan.

(3) Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang daripada kira-kira Persatuan hendaklah ditandatangan bersama oleh Presiden (atas ketiadaannya oleh Naib Presiden), Setiausaha Agung dan Bendahari Agung. Semasa ketiadaan Setiausaha Agung atau Bendahari Agung, maka bolehlah Jawatankuasa Pusat melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menurunkan tandatangan.

(4) Perbelanjaan yang lebih daripada RM 1,000.00 (Ringgit Malaysia : satu ribu) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Pusat, dan perbelanjaan yang lebih daripada RM 5,000.00 (Ringgit Malaysia : lima ribu) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran Mesyuarat Perwakilan terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM 1,000.00 (Ringgit Malaysia : satu ribu)) boleh diluluskan oleh Presiden bersama Setiausaha Agung dan Bendahari Agung.

(5) Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan dan diperiksa oleh juruaudit yang dilantik di bawah Fasal 11 undang-undang ini dengan seberapa segeranya setelah tamat tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Tahunan Perwakilan yang berikutnya dan salinan boleh diperolehi untuk makluman ahli di alamat tempat urusan Persatuan yang berdaftar dan dari pejabat tiap-tiap cawangan.

(6) Tahun kewangan Persatuan ini bermula daripada 1hb Januari tiap-tiap tahun.

 

FASAL 11 JURUAUDIT

(1) Dua orang yang bukannya pegawai Persatuan boleh dilantik di dalam Mesyuarat Tahunan Perwakilan sebagai Juruaudit. Mereka akan memegang jawatan selama satu tahun dan tidak boleh dilantik semula.

(2) Juruaudit adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Persatuan dan cawangan-cawangan bagi setahun, dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Tahunan Perwakilan dan Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan. Mereka juga dikehendaki bila-bila masa oleh Yang Di Pertua mengaudit kira-kira Persatuan atau Cawangan-cawangan pada bila-bila masa di dalam tempoh jawatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa Pusat.

 

FASAL 12 PENGAMANAH

(1) Tiga orang Pengamanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Tahunan Perwakilan, dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Persatuan. Semua harta takalih yang dipunyai oleh Persatuan akan dimanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah (Deed of Trust).

(2) Pengamanah tidak boleh menjual, menarik balik dan menukarkan harta kepunyaan Persatuan dengan tidak ada persetujuan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Perwakilan.

(3) Seseorang Pengamanah itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Perwakilan oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana lain sebab yang mengakibatkan ia tidak boleh menjalankan tugas-tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pemecatan seseorang Pengamanah maka kekosongan itu boleh dipenuhkan oleh Pengamanah yang baru yang dilantik di dalam Mesyuarat Perwakilan dengan secepat mungkin.

 

FASAL 13 PEMBUBARAN

(1) Persatuan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) jumlah semua wakil cawangan/ahli yang hadir di dalam suatu Mesyuarat Perwakilan yang dipanggil khas kerananya.

(2) Sekiranya Persatuan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Persatuan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui di dalam Mesyuarat Perwakilan berkenaan.

(3) Kenyataan mengenai pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan di dalam masa 14 hari daripada tarikh pembubaran itu.

 

FASAL 14 PENUBUHAN DAN PEMBUBARAN CAWANGAN-CAWANGAN

(1) Jawatankuasa Pusat boleh membenarkan penubuhan cawangan di kawasan yang mempunyai sekurang-kurangnya 7 orang ahli Persatuan. Penubuhan cawangan hendaklah dibenarkan secara bertulis oleh Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

(2) Jawatankuasa Pusat boleh membubarkan cawangan:

(a) Jika bilangan ahli-ahli di dalam tempoh enam bulan berturut-turut kurang daripada 7 orang ahli atau

(b) Jika cawangan tidak mematuhi undang-undang persatuan atau keputusan Mesyuarat Perwakilan atau Jawatankuasa Pusat atau jika Jawatankuasa Pusat mendapatinya bersalah kerana perbuatannya mecemarkan Persatuan.

(3) Keputusan membubarkan cawangan hendaklah dengan undi terbanyak di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat, dengan syarat sebelum diambil keputusan membubarkan cawangan atas sebab yang disebutkan di dalam Fasal 14 (2) (b) di atas, cawangan yang berkenaan hendaklah diberi suatu notis selama 30 hari terlebih dahulu dan diberi peluang untuk menjawab tuduhan-tuduhan tersebut.

(4) Perintah pembubaran hendaklah ditandatangani oleh Setiausaha Agung. Cawangan tidak boleh bergerak mulai dari tarikh penerimaan perintah tersebut kecuali untuk urusan penyelesaian. Sebarang cawangan yang musykil atas perintah pembubaran boleh, dengan kenyataan bertulis kepada Setiausaha Agung di dalam tempoh 30 hari daripada tarikh penerimaan perintah tersebut, membuat rayuan kepada Mesyuarat Perwakilan. Walaupun rayuan telah dibuat namun perintah pembubaran masih berkuatkuasa sehingga dibatalkan tetapi di dalam keadaan yang sedemikian Jawatankuasa Pusat boleh melantik satu jawatankuasa penjaga daripada ahli-ahli untuk menguruskan hal ehwal cawangan itu sementara rayuan tersebut dipertimbangkan.

(5) Jika sesuatu cawangan ditutup kerana sebab yang disebutkan dalam fasal 14 (2) (a) di atas, maka Jawatankuasa Pusat hendaklah memindahkan ahli-ahli yang ada kepada cawangan yang hampir sekali, dan jika cawangan ditutup kerana sebab di dalam peraturan 14 (2) (b) di atas, maka ahli-ahli akan terhenti menjadi ahli Persatuan.

(6) Adalah menjadi kewajipan Yang Di Pertua, Setiausaha dan Bendahari bagi cawangan itu menyerahkan kepada Setiausaha Agung segala buku, rekod, wang dan harta-harta lainnya yang dimiliki oleh cawangan berserta dengan penyata kira-kira cawangan itu daripada tarikh akhir pengemukaan penyata kira-kira itu dibentangkan sehingga tarikh perintah pembubaran.

(7) Jika ahli-ahli sesuatu cawangan memutuskan hendak keluar daripada Persatuan, maka pegawai-pegawai cawangan itu dengan serta merta mestilah menyerahkan kepada Setiausaha Agung segala buku, rekod, wang dan harta-harta lain Persatuan dan seterusnya menyedia dan menyerahkan penyata kira-kira kepada Setiausaha Agung seperti di dalam Fasal 14 (6) di atas.

 

FASAL 15 MESYUARAT AGUNG CAWANGAN

(1) Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan akan diadakan tidak lewat daripada 30 hari selepas menerima pemberitahu awal mengenai Mesyuarat Tahunan Perwakilan, supaya pemberitahu mengenai masa, tarikh dan tempat Mesyuarat Agung Tahunan cawangan akan dikeluarkan dengan sewajarnya.

(2) Kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan ialah untuk:

(a) Menerima laporan Bendahari Cawangan dan Kira-kira Cawangan yang telah diaudit bagi tahun lepas.

(b) Memilih wakil-wakil Mesyuarat Perwakilan untuk dua tahun hadapan.

(c) Memilih Jawatankuasa Cawangan dan Juruaudit Cawangan untuk dua tahun hadapan.

(d) Membincangkan perkara-perkara lain yang akan dibentangkan.

(3) Setiausaha Cawangan hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 21 hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan pemberitahu awal yang menyatakan tarikh, waktu dan tempat mesyuarat, panggilan mengemukakan cadangan untuk perbincangan dan pencalonan untuk pemilihan pegawai cawangan.

(4) Pencalonan untuk pemilihan pegawai-pegawai dan cadangan untuk perbincangan di dalam mesyuarat tersebut hendaklah disampaikan kepada Setiausaha Cawangan tidak lewat daripada 7 hari selepas penerimaan pemberitahu awal mesyuarat.

(5) Setiausaha Cawangan hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 7 hari sebelum diadakan Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan, satu agenda (acara mesyuarat) termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan berserta dengan penyata kira-kira cawangan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini juga boleh diperolehi untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan cawangan.

(6) Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli-ahli cawangan berhak mengundi atau dua kali ganda jumlah ahli jawatankuasa cawangan, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi kourum untuk mesyuarat.

(7) Jika kourum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 7 hari) yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Cawangan, dan jika kourum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu, maka ahli-ahli berkuasa menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

(8) Suatu Mesyuarat Agung Khas cawangan hendaklah diadakan:

(a) Atas arahan Jawatankuasa Pusat; atau

(b) Apabila Jawatankuasa Cawangan memikirkannya mustahak;

(c) Atas permintaan bertulis tidak kurang daripada separuh ahli-ahli cawangan dengan menyatakan tujuan dan sebab untuk mengadakan mesyuarat itu.

(9) Mesyuarat Agung Khas cawangan atas permintaan ahli-ahli hendaklah diadakan dalam tempoh 15 hari dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat tersebut.

(10) Fasal 15 (6) dan 15 (7) di dalam undang-undang ini berkenaan kourum dan penangguhan mesyuarat Agung Tahunan Cawangan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas Cawangan, tetapi dengan syarat jika kourum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas Cawangan atas permintaan ahli-ahli tersebut, maka mesyuarat itu hendaklah dibatalkan dan dalam tempoh 6 bulan daripada tarikh ini Mesyuarat Agung Khas Cawangan atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

(11) Setiausaha Cawangan hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli dan Setiausaha Agung satu salinan deraf catatan tiap-tiap Mesyuarat Agung Cawangan dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.

 

FASAL 16 JAWATANKUASA CAWANGAN

(1) (a) Sesuatu Jawatankuasa Cawangan seperti berikut yang akan dikenali sebagai pemegang jawatan Cawangan, akan dipilih pada tiap-tiap Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Cawangan:

Seorang Yang Dipertua Cawangan;

Seorang Naib Yang Dipertua Cawangan;

Seorang Setiausaha Cawangan;

Seorang Penolong Setiausaha Cawangan;

Seorang Bendahari Cawangan; dan

Lima Ahli Jawatankuasa Biasa Cawangan.

(b) Semua ahli yang berkhidmat di dalam jawatankuasa Cawangan dan tiap-tiap pegawai lain yang menjalankan tugas-tugas eksekutif dalam cawangan hendaklah warganegara Malaysia

(2) Nama-nama untuk jawatan-jawatan yang di atas hendaklah dicadang dan disokong dan pemilihan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Cawangan. Semua pegawai boleh dilantik semula tiap-tiap dua tahun.

(3) Pekerjaan Jawatankuasa Cawangan ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Cawangan mengikut Undang-undang Persatuan dan arahan-arahan Jawatankuasa Pusat dan Mesyuarat Perwakilan. Jawatankuasa Cawangan hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 3 bulan dan cukup kourum jika hadir satu perdua (1/2) daripada ahli-ahlinya. Setiausaha Cawangan akan memberi satu salinan peringatan tiap-tiap mesyuarat kepada Setiausaha Agung tidak lewat daripada 14 hari selepas mesyuarat itu diadakan.

 

FASAL 17 TUGAS-TUGAS PEGAWAI-PEGAWAI CAWANGAN

(1) Yang Di Pertua Cawangan dalam tempoh memegang jawatannya akan menjadi Pengerusi semua Mesyuarat Agung Cawangan dan semua Mesyuarat Jawatankuasa Cawangan serta bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan akan menandatangani peringatan-peringatan mesyuarat setelah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani semua cek cawangan bersama-sama dengan Setiausaha Cawangan dan Bendahari Cawangan.

(2) Naib Yang Di Pertua Cawangan akan memangku jawatan Yang Di Pertua Cawangan semasa ketiadaannya.

(3) Setiausaha Cawangan hendaklah menjalankan kerja-kerja cawangan mengikut undang-undang dan ia hendaklah menjalankan perintah-perintah Mesyuarat Agung Cawangan dan Jawatankuasa Cawangan. Ia bertanggungjawab menguruskan hal-hal surat menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat cawangan dan membuat catatan. Ia hendaklah menandatangani semua cek Cawangan bersama-sama dengan Yang Dipertua Cawangan dan Bendahari Cawangan.

(4) Penolong Setiausaha Cawangan hendaklah membantu Setiausaha Cawangan dalam menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu dalam masa ketiadaanya.

(5) Bendahari Cawangan adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan cawangan. Ia hendaklah mengurus dan menyimpan kira-kira mengenai urusan kewangan cawangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya.

(6) Ahli Jawatankuasa Biasa Cawangan hendaklah membantu Jawatankuasa Cawangan menjalankan sebarang tugas yang diarah olehnya.

 

FASAL 18 KEWANGAN CAWANGAN

(1) Semua wang yang dikutip di Ibu Pejabat dan Cawangan-cawangan Persatuan akan menjadi aset bersama Persatuan.

(2) Mesyuarat Tahunan Perwakilan akan menentukan dari masa ke semasa peratusan kadar yuran yang akan disimpan di Cawangan sebagai kumpulan wang Cawangan dan akan menetapkan jenis-jenis perbelanjaan yang akan menggunakan wang Cawangan.

(3) Tiap-tiap Bendahari Cawangan akan menyampaikan kepada Bendahari Agung sebelum 15hb. tiap-tiap bulan yuran-yuran yang diterima oleh cawangan setelah ditolak peratusan yang disimpan sebagai kumpulan wang Cawangan.

(4) Bendahari Cawangan akan juga menyampaikan kepada Bendahari Agung sebelum 15hb. tiap-tiap bulan suatu penyata pendapatan dan perbelanjaan Cawangan bagi bulan lepas.

(5) Semua wang Cawangan hendaklah disimpan di atas nama Cawangan di dalam bank yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Cawangan dan kira-kira wang itu akan dikelolakan bersama-sama oleh Yang Di Pertua Cawangan, Bendahari Cawangan dan Setiausaha Cawangan. Bendahari Cawangan dibenarkan menyimpan wang di dalam tangan sebanyak tidak lebih daripada RM500.00 (Ringgit Malaysia : lima ratus) pada suatu masa. Perbelanjaan yang melebihi RM500.00 (Ringgit Malaysia : lima ratus) pada suatu masa tidak boleh dilakukan tanpa kebenaran diperolehi terlebih dahulu daripada Jawatankuasa Cawangan dan perbelanjaan yang kurang RM500.00 (Ringgit Malaysia : Lima ratus) bagi suatu masa boleh diluluskan oleh Yang Di Pertua Cawangan bersama-sama dengan Setiausaha Cawangan dan Bendahari Cawangan.

(6) Semua wang, buku dan harta-harta lain Persatuan yang dipegang oleh mana-mana Cawangan yang telah dibubarkan akan dihantarkan dengan segera oleh Setiausaha Cawangan kepada Setiausaha Agung, bersama-sama dengan penyata kira-kira sebagaimana dinyatakan pada fasal 14 (6) dan 14 (7).

FASAL 19 PERUNTUKAN-PERINTUKAN UMUM MENGENAI CAWANGAN

(1) Di mana peruntukan khas tiada disebut di dalam Undang-undang ini bagi perkara-perkara berhubung dengan pentadbiran Cawangan-cawangan Persatuan, undang-undang yang berkenaan mengenai pentadbiran Ibu Pejabat Pertubuhan akan diikuti sejauh mana yang sesuai.

(2) Mesyuarat Perwakilan dan Jawatankuasa Pusat akan memberi arahan kepada Mesyuarat Agung atau Jawatankuasa Cawangan mengenai pentadbirannya.

 

FASAL 20 PINDAAN UNDANG-UNDANG

Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Perwakilan. Permohonan untuk perubahan dan pindaan undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam tempoh 60 hari dari tarikh keputusan Mesyuarat Perwakilan meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh berkuatkuasa mulai daripada tarikh perubahan-perubahan dan pindaan-pindaan itu dibenarkan oleh Pendaftar Pertubuhan.

 

FASAL 21 TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

(1) Di antaranya berlangsungnya mesyuarat-mesyuarat perwakilan, Jawatankuasa Pusat boleh memberikan tafsirannya kepada Undang-undang ini dan apabila mustahak memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.

(2) Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat di dalam Mesyuarat Perwakilan, keputusan Jawatankuasa Pusat ke atas ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Perwakilan.

 

FASAL 22 LARANGAN

(1) Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Persatuan: Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker’s game dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib.

(2) Persatuan atau ahli-ahlinya tidak harus mencuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definisi dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959.

(3) Persatuan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama persatuan atau pegawai-pegawainya atau Jawatankuasa atau ahli tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan.

(4) “Faedah” seperti yang ditafsirkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan, 1966 tidaklah boleh diberi oleh Persatuan kepada mana-mana ahlinya.

 

FASAL 23 LAMBANG

(1) Lambang

Lambang Persatuan adalah seperti gambarajah yang tertera di website ini :

 

(2) Keterangan lambang

Lambang Persatuan ini berbentuk bulat yang bermaksud kebulatan muafakat ahli-ahlinya. Rekabentuk lambang bermula dengan garisan lilitan bulatan berwarna merah di bahagian latar tepi lambang. Kemudian diikuti pula satu lagi garisan bulatan merah di bahagian dalam lambang yang selari dengan garisan luar tersebut di atas. Ruang di antara garisan bulatan merah ini berwarna kuning yang tertera perkataan PERSATUAN SENI URUT TERAPI SIFULI MALAYSIA yang berwarna hitam. Di bahagian tengah lambang yang berwarna hitam terdapat gambar dua batang tukul kayu bersilang berwarna merah yang bermaksud alat pertukangan tradisional yang memerlukan kemahiran seni. Di bawah gambar tukul tersebut terdapat simbol 2COOL yang bermaksud ‘tukul’ dalam Bahasa Melayu dan ‘to cool’ dalam Bahasa Inggeris.

 

(3) Ertinya

1. Tukul – Kesenian

2. 2COOL – Tukul atau ‘to cool’

3. Merah – Keberanian

4. Hitam – Bersatu padu (Perpaduan)

5. Kuning – Bernaung di bawah Raja

 

 

 

 

Jika anda suka post ini sila share di sosial networking pilihan anda. Terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>